BIRD RACE 2023 & OPEN DAY

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sarawak Maju Makmur dan Selamat Pagi.

Alhamdulilah, bersyukur kita kepada Illahi kerana dengan izin-Nya kita dapat bersama-sama dalam majlis ‘Bird Race 2023 & Open Day’ di Taman Rizab Semulajadi Tun Ahmad Zaidi pada pagi ini.

Program ini merupakan program yang pertama kalinya dianjurkan di Taman Rizab Semulajadi Tun Ahmad Zaidi.

Ramai warga Sibu yang tidak tahu tentang kewujudan taman ini. Justeru itu, dengan pelaksanaan program “Bird Race dan Open Day” ini, Taman Rizab Semulajadi Tun Ahmad Zaidi akan lebih dikenali oleh masyarakat di bahagian Sibu.

Saya ingin mengumumkan bahawa taman ini telah diwartakan pada tahun 2014 dengan saiz kawasan adalah kira-kira 45.6ha. Landskapnya terdiri daripada tasik buatan manusia, permukaan berbukit dan padang terbuka. Persekitaran Taman Rizab Semulajadi Tun Ahmad Zaidi adalah berasaskan hutan spesis asli dan eksotik seperti Kapur. Flora dan fauna yang dapat dijumpai di TAZNR adalah seperti tupai, musang, periuk kera, slow loris, rusa, black hornbill dan hill myna, burung tiong, burung murai kampung, burung murai batu, kera, ular, dan monyet.

Saya dimaklumkan 57 orang peserta telah mendaftar untuk aktiviti hari ini termasuk peserta dari Brunei dan peserta dari Sabah.

Pelbagai aktiviti telah dirancangkan pada hari ini dan esok termasuk fotografi Burung terbaik dan fotografi alam semulajadi terbaik, pameran, Tarik tali, menyumpit, kuiz, ‘Night Walk’ dan gerai jualan yang diselenggarakan oleh warga SFC.

Pengertian saya sendiri tentang ‘Bird Race’ ini adalah tentang perlumbaan burung. Namun ianya adalah aktiviti mengambil gambar burung dan mengenal pasti spesis burung yang ada di taman ini.

Aktiviti mengambil gambar pada zaman sekarang amatlah popular, disebabkan semua kita mempunyai kemudahan dihujung jari, gambar-gambar yang diambil akan dikongsi dengan rakan-rakan dan ini akan meningkatkan pengetahuan orang luar yang tidak tahu mengenai taman ini.

‘Bird Race’ tidak hanya menyeronokkan tetapi juga menjadi sumber ilmu pengetahuan. Ia memberikan peluang kepada peminat alam semulajadi untuk memahami lebih lanjut mengenai spesies burung.

Dengan begitu, marilah kita bersama-sama menyokong dan menghargai ‘Bird Race’ sebagai satu inisiatif positif dalam eko pelancongan.

Saya juga mengucapkan tahniah kepada Pengurus Wilayah Sibu dan kakitangan Pejabat Wilayah Sibu telah berjaya melaksanakan program ini.

Wabillahi taufik walhidayah Wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Sekian, terima kasih.

Add Comment