MAJLIS PELANCARAN PROJEK SISTEM TAGANG DI SG MELINAU & SG PALA, MULU

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sarawak Maju Makmur dan Selamat Tengahari. Yang Berhormat Datuk, Tuan-tuan dan Puan-puan Alhamdulilah, bersyukur kita kepada Illahi kerana dengan izin-Nya kita dapat bersama-sama dalam Majlis Pelancaran Projek Sistem Tagang di Sg Melinau dan Sg Pala pada hari ini.

Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Gerawat Gala, Ahli Dewan Undangan Negeri N. 78 Mulu, Timbalan Menteri di Pejabat Premier (Buruh, Imigresen & Pemantauan Projek) kerana sudi melapangkan masa hadir bagi menyempurnakan majlis ini meskipun dengan jadual YB yang agak padat dan sibuk.

Sarawak Forestry Corporation amat berbangga dengan penduduk setempat iaitu dari Sg Melinau dan Sg Pala kerana berminat untuk menjadikan sistem tagang sumber pendapatan mereka dan sistem ini bakal menjadi pemangkin kepada kelestarian hidupan akuatik untuk generasi akan datang.

Hari ini, kita bersama-sama menyaksikan pelancaran Sistem Tagang, satu inisiatif yang bukan sahaja penting, ianya dapat mengekalkan beberapa spesies ikan tidak pupus malah memulihara serta menjaga ekosistem sungai.

Melalui Sistem Tagang, kita berusaha untuk mencapai beberapa objektif utama iaitu untuk melindungi dan memulihara ekosistem sungai agar tidak tercemar, untuk memelihara sumber asli perikanan, meningkatkan pengeluaran ikan sungai, dan menjana pendapatan baru melalui agro-pelancongan.

Kami juga ingin mengambil peluang hari ini untuk menyatakan bahawa Sistem Tagang membawa bersama pelbagai produk agro-pelancongan yang menarik, termasuk homestay, kebudayaan tempatan, memancing, merentas hutan, aktiviti menyusur sungai, dan peluang penyelidikan. Ini adalah peluang untuk mengalami keindahan alam semulajadi Sarawak dan budaya tempatan yang kaya.

Selain daripada itu, Sistem Tagang membuka pintu kepada penyelidik untuk menjalankan kajian R&D alam sekitar flora dan fauna, serta sosioekonomi penduduk tempatan dan kawasan sekitarnya. Inisiatif ini adalah penting untuk meningkatkan pemahaman kita tentang alam sekitar dan memberikan panduan untuk usaha pemuliharaan kita.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyokong dan terlibat dalam pembangunan Sistem Tagang ini. Kejayaan inisiatif ini adalah hasil daripada kerjasama yang kukuh antara kerajaan, pihak swasta, komuniti tempatan, dan rakan[1]rakan pemuliharaan alam sekitar.

Akhir kata, terima kasih kepada Kerajaan Sarawak atas sokongan tanpa henti dalam pelbagai projek yang dijalankan oleh SFC. SFC akan terus komited dalam menjalankan amanah dalam memelihara dan memulihara khazanah alam semulajadi di negeri Sarawak yang kita cintai ini.

Wabillahi taufik walhidayah Wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Sekian, terima kasih

Add Comment