Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera, Salam Sarawakku Sayang dan Selamat Petang.
Alhamdulilah, bersyukur kita kepada Illahi kerana dengan izin-Nya kita dapat bersama-sama dalam Majlis Penutupan Projek Eko-Marin Petronas SFC pada hari ini.
Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Haji Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Lembaga Pengarah SFC kerana sudi melapangkan masa hadir bagi menyempurnakan majlis ini meskipun dengan jadual YB Datuk yang agak padat dan sibuk.
Untuk makluman hadirin sekalian, mulai 1 Januari 2020, SFC diberi mandat untuk melaksanakan Ordinan Taman Negara dan Rizab Semulajadi, 1998 serta Ordinan Hidupan Liar 1998. Fungsi utama SFC adalah mengurus Kawasan Terlindung Sepenuhnya dan melindungi hidupan liar di Sarawak.
Daripada jumlah keseluruhan 67 Kawasan Terlindung Sepenuhnya (termasuk Taman Negara, Rizab Semulajadi dan Pusat Hidupan Liar) yang diwartakan di Sarawak, terdapat tiga (3) Kawasan Perlindungan Laut @ Marine Protected Areas yang merangkumi kawasan seluas 1.24 juta hektar. Hidupan marin seperti penyu laut, ikan paus, lumba-lumba, labi-labi dan terumbu karang, adalah antara spesies yang disenaraikan sebagai spesies yang dilindungi sepenuhnya.
Pada masa kini, SFC sedang giat menjalankan pelbagai program penyelidikan untuk menyokong pemuliharaan spesies terancam serta ekosistem marin dengan melaksanakan sistem pengurusan, teknik, dan program kesedaran yang bersesuaian. Projek Rakyat Sarawak Reef Ball merupakan salah satu inisiatif SFC dan kerajaan Sarawak dalam usaha melindungi dan memulihara kehidupan marin di Sarawak.
Untuk memastikan bahawa misi dan visi SFC untuk memelihara dan memulihara hidupan marin tercapai, SFC telah bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan lain, universiti, NGO, sektor korporat, dan komuniti tempatan. Dan untuk Projek Eko-Marin ini, pihak SFC telah berkerjasama dengan PETRONAS untuk melindungi dan memulihara kehidupan marin di Taman Negara Terumbu Karang Miri-Sibuti.
Kerjasama pertama antara SFC-PETRONAS dalam konservasi marin berlaku di Taman Negara Similajau, Bintulu, apabila SFC bekerjasama dengan MLNG di bawah Projek BEACON dalam memulih, melindungi, mengembangkan semula, dan meningkatkan biodiversiti marin di taman negara tersebut.
Bagi Projek BEACON tersebut, Memorandum Persefahaman (MoU) di antara MLNG dan SFC telah ditandatangani pada 16 November 2012 di mana MLNG telah menyalurkan dana sebanyak RM8 juta (RM2 juta tambahan diberikan pada tahun 2015 untuk Pusat Interpretasi di Taman Negara Similajau). Dalam perjanjian ini, SFC bertindak sebagai pelaksana projek dan menyediakan pakar-pakar yang terlatih untuk melaksanakan projek tersebut.
Projek Eco Marin PETRONAS – SFC ini telah dicadangkan oleh SFC pada Julai 2015, dan diluluskan secara bersama oleh PETRONAS dan Jawatankuasa Bersama Kerajaan Sarawak (JWC) di bawah Sub[1]Komiti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR). Projek Eko-Marin telah dirasmikan oleh Bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Pehin Sri (Dr) Haji Hj. Adenan Bin Hj. Satem pada 17 Oktober 2016.
Pada 15 hingga 16 Oktober 2016, SFC memulakan Projek ini dengan satu bengkel yang dihadiri oleh 150 peserta yang terdiri daripada ketua agensi kerajaan, NGO, dan komuniti nelayan tempatan dari Kampung Kuala Sibuti hingga Kampung Kuala Bakam serta Persatuan Nelayan Kawasan Miri, antara lain, untuk memberi mereka pemahaman mengenai tujuan dan hasil yang diingini daripada Projek Eko-Marin ini.
Melalui Projek Eko-Marin ini, sebanyak 1,750 tukun bebola tiruan telah ditanam di kawasan pantai Taman Negara Terumbu Karang Miri-Sibuti. Impak projek terhadap biodiversiti marin dinilai secara berkala melalui program pemantauan di lokasi-lokasi penempatan tukun bebola yang telah ditanam.
Projek bernilai RM8 juta ini merupakan sebahagian daripada inisiatif pemuliharaan di Sarawak, dengan objektif utamanya adalah untuk melindungi kepelbagaian biologi marin dan ekosistem. Seperti yang kita sedia maklum, laut kita menyokong kepelbagaian biologi yang besar, memainkan peranan penting dalam pengawalan iklim, dan memberikan pelbagai manfaat kepada manusia. Projek Eko-Marin ini bermula pada tahun 2016 dan tamat pada suku terakhir tahun 2022.
SFC dan PETRONAS, dengan bantuan ahli-ahli jawatankuasa dan komuniti-komuniti tempatan, telah bertungkus lumus berganding bahu sejak 2016 hingga 2022 untuk memastikan kejayaan Projek ini. Aktiviti seperti Pembersihan Terumbu Karang Tahunan bersama komuniti penyelam SCUBA di Miri, Majlis Melabuh Tukun Bebola Tiruan serta Program Renjer Hidupan Liar kehormat ataupun Honorary Wildlife Ranger Programmes oleh komuniti tempatan adalah antara aktiviti kesedaran awam yang telah dijalankan melalui Projek Eko-Marin ini.
Hari ini, saya dengan sukacitanya ingin memaklumkan bahawa Projek Eco Marin PETRONAS-SFC di Taman Negara Terumbu Karang Miri-Sibuti telah selesai dan saya bangga untuk menyampaikan dan berkongsi pencapaian Projek Eko-Marin ini di hadapan Yang Berhormat Datuk.
Dengan selesainya Projek Eko-Marin ini, kami akan dapat memperkukuhkan usaha kami dalam konservasi marin serta melindungi Spesies Terancam Marin (MES) dan habitat penting mereka daripada aktiviti penangkapan ikan secara haram dan menjalankan aktiviti pemuliharaan terumbu karang secara terancang dan terkawal.
Impak daripada Projek Eko-Marin ini jelas memberi manfaat kepada komuniti tempatan terutamanya dalam meningkatkan taraf sosioekonomi mereka. 1,750 tukun bebola tiruan yang ditanam mewujudkan habitat baru dan membantu meningkatkan sumber perikanan seperti ikan, ketam, udang, dan sotong. Ini kerana tukun bebola tiruan ini menjadi tempat makan, membiak dan tempat tinggal bagi kehidupan laut. Seterusnya, kepelbagaian dan pertambahan sumber perikanan mampu meningkatkan tangkapan dan pendapatan nelayan tempatan dan sekaligus meningkatkan taraf hidup mereka.
SFC sangat gembira kerana projek kolaboratif dengan rakan strategik kami, PETRONAS, telah menunjukkan dan membuktikan potensinya, dan saya yakin usaha keras kami telah berbaloi. Walau bagaimanapun, kami tidak akan berhenti di sini dan jika diberi peluang untuk terlibat dalam projek-projek lain yang berkaitan dengan pemuliharaan biodiversiti dan selari dengan Strategi Pembangunan Sarawak Pasca COVID-19 2030, SFC dengan sukacitanya akan menerima cabaran itu.
Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada PETRONAS, atas sumbangan, komitmen, dan kerjasama anda dalam Projek Eko-Marin PETRONAS-SFC di Taman Negara Terumbu Karang Miri-Sibuti. Saya yakin ini bukanlah yang terakhir, tetapi merupakan pintu gerbang kepada banyak lagi projek yang mendatang. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan Projek Eko-Marin ini.
Akhir kata, terima kasih kepada Kerajaan Sarawak atas sokongan tanpa henti dalam pelbagai projek yang dijalankan oleh SFC. SFC akan terus komited dalam menjalankan amanah dalam memelihara dan memulihara khazanah alam semulajadi di negeri Sarawak yang kita cintai ini. Wabillahi taufik walhidayah Wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Sekian, terima kasih.